Tuesday, December 16, 2014

Referensi Sirah Nabawiyah


Buku Sirah Rasulullah S.A.W.  hasil karya al Ustaz Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri dari Universiti al-Salafiah, India. Merupakan di antara kitab-kitab yang unik dan tersendiri, dihasilkan melalui pendekatan kronologi sejarah dengan keistimewaan  dan  programnya yang jelas dan kesyumulannya yang padu   di dalam pendedahan perjalanan sirah nan mulia. Semerbak dengan cara yang mendalam, bebas dari kepalsuan dan khurafat-khurafat. Ianya juga istimewa lantaran merupakan tulisan sejarah kenabian Muhammad S.A.W yang mampu membantu pelajar atau pengkaji sirah untuk mencapai tujuannya.  Kitab ini telah memenangi tempat pertama "Sayembara Buku Sirah Nabawiyah" yang dianjurkan oleh Rabitah al-Alam  al-Islami.

        Sirah Rasulullah S.A.W adalah warisan tetap yang akan terus menjadi aset utama dalam membentuk generasi Islam masakini dan akan datang. Ianya merupakan bekalan  disepanjang perjalanan para pendokong aqidah dan penegak ad-deen serta sesiapa sahaja yang berjuang menegakkan al-haq.

         Mengkaji sejarah sirah Rasulullah S.A.W.  merupakan usaha untuk menyingkap  rahsia-rahsia di mana  pernah berlaku di dalam sejarah suasana kegersangan kemarau yang berpanjangan tiba-tiba berubah menjadi
bumi yang subur menghijau dengan mekar-mekar kemanusiaan. Rasulullah S.A.W. telah berjaya membentuk rijal-rijalnya,tokoh-tokoh serta pemimpin-pemimpin Islam yang menghampiri pekerti malaikat. Sejarah akan berbicara apabila meneliti prilaku Rasulullah S.A.W. kerana Baginda pernah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya aku membentuk satu umat yang akan mewarisi sejarah bumi".

        Rasulullah S.A.W. tabah dan sabar menghadapi pancaroba dan mampu mempertahankan kebenaran dengan jiwa yang kekal apabila berhadapan dengan dugaan dunia. Tiada siapa yang dapat dibandingkan dengan baginda S.A.W. dalam hal belas kasihannya, berlembut hati dan mudah memaafkan sekalipun terhadap musuhnya.  Oleh yang demikian Rasulullah S.A.W.  merupakan sumber sejarah kemanusiaan sejagat untuk dunia dan ianya adalah induk kepada sistem pemikiran yang sihat.  

         Allah S.W.T. telah mengawal dan mencorak hati sanubari Rasulullah S.A.W hingga dengan itu Baginda dijauhkan dari runtunan hawa nafsu dan keterlanjuran fitrah naluri.  Maka seseorang peneliti sejarah hidup Rasulullah S.A.W. , pekerti-pekertinya dan hadis-hadisnya haruslah mencari ukiran dan curahan Allah S.W.T.pada setiap aspek. Darinya nanti akan terdedah suatu rahsia iaitu dunia ini tidak mampu sampai ke mercu moral dan akhlak yang tinggi melainkan dengan mengikuti akhlak dan ajaran Rasulullah S.A.W.

         Rasulullah S.A.W. akan bersama-sama kita selagi mana kita bersama-sama dengan Baginda. Justeru itu mari bersama kita hadhamkan sirah baginda ... agar Rasulullah sentiasa bersama kita di hati dan sanubari...

No comments:

Post a Comment